Keputusan peperiksaan Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 akan dikeluarkan pada 21 Mac 2012. Calon-calon
boleh mendapatkan keputusan mereka daripada sekolah masing-masing selepas jam
10.00 pagi pada hari yang sama.
Tapi pengalaman saya pula ambil
keputusan SPM di dalam hutan…hehehe sebenarnya di kem PLKN Sri Impian, Sungai
Bakap. Dulu program ni dikenali sebagai PKN, Program Khidmat Negara ketika
pertama kali diperkenalkan. Saya dan kawan-kawan yang lain merupakan pelatih
kumpulan pertama siri pertama.
Sebenarnya sedih juga ambil
keputusan kat kem PLKN ni. Tak dapat berkongsi kejayaan dengan kawan-kawan
sekolah dan juga guru-guru. Lebih sedih lagi tanpa ibubapa di sisi untuk
meraikan kejayaan bersama-sama.
Bayangkanlah keputusan SPM pada tahun
itu keluar pada hari Rabu (sebenarnya saya dah tak ingat pun hari apa tapi dah buat
semakan). Ibubapa tak boleh melawat kami di kem melainkan pada hujung minggu
sahaja.
Pada hari tersebut, kami semua
berkumpul di dewan makan. Tiada aktiviti dan rutin biasa dijalankan. Keputusan SPM diedarkan dengan memanggil nama setiap pelatih seorang demi seorang bermula dengan huruf A.
Bayangkanlah berapa ramai pelatih yang
ada di sesebuah kem PLKN. Nama saya pula bermula dengan huruf N. Penantian
memang satu penyiksaan. Mulanya pagi tu memang perasaan sangat berdebar-debar.
Selepas terpaksa menunggu giliran
nama yang memakan masa, akhirnya dah hilang perasaan seram sejuk pagi tadi. Sangat
penat menunggu keputusan. Dah hilang rasa teruja untuk mengetahui keputusan SPM
sendiri.
Setelah penantian berakhir dan nama
saya dipanggil, barulah datang kembali debaran-debaran pagi tadi. Alhamdullilah
keputusan memuaskan hati saya setelah segala keringat dicurahkan setiap hari
setiap malam.
Maklumlah dulu duduk asrama, pagi
petang siang malam belajar dan ulangkaji pelajaran sahaja. Tak dak kerja lain
dah. Terima kasih buat cikgu-cikgu dan kawan-kawan di KISAS.
Lepas dah dapat keputusan, kalau nak telefon keluarga kena guna telefon awam. Telefon bimbit tidak dibenarkan dibawa ke kem. Bayangkan cuma ada 2 buah telefon awam di kem perempuan dan pelatih perempuan pula mestilah sangat ramai.
Terlupa pula, ada juga wartawan yang
datang ke kem untuk menemuramah. Maklumlah kali pertama ada rakyat Malaysia yang
mengambil keputusan SPM di kem PLKN (kami lah tu).
Kami hanya mampu melihat kawan-kawan
yang telah dapat keputusan di sebelah pagi ditemu ramah. Cemburu? Kami pula terpaksa menunggu sehingga nama di panggil.
 |
Kenangan bersama kawan-kawan PLKN kumpulan D4 |