Saya ingin kongsikan sebuah kisah yang saya baca dalam majalah Solusi isu 26, bahagian Mahmudah tulisan saudara Umar M. Noor.

Ulama yang dimaksudkan ialah Hawyah bin Syuraih, digelar Abu Zur'ah, al-Tujibi dan wafat pada tahun 158H. Beliau sangat terkenal dengan sifat soleh, warak dan banyak ilmu. Mungkin itulah sebabnya Allah berkenan memberikan kelebihan tertentu sebagai karamah kepadanya.
Al-Hafiz al-Zahabi dalam Tazkirah al-Huffaz meriwayatkan bahawa setiap bulan Hawyah akan menerima pemberian kerajaan sebanyak 60 dinar. Setiap kali menerimanya, beliau tidak akan kembali ke rumah sebelum menyedekahkan kesemua wang itu. Namun, setiap kali beliau tiba di rumahnya, beliau akan mendapati wang tersebut ada di bawah sejadahnya.
Seorang kerabatnya mengetahui kejadian ini. Beliau pun meniru perbuatan Hawyah (bersedekah dengan semua wang yang dimilikinya). Kemudian beliau segera kembali ke rumahnya untuk mendapatkan kembali wang itu. Namun, apabila melihat ke bawah sejadahnya, beliau tidak menemukan wang tersebut.
Akibat kecewa beliau segera menceritakan perkara itu kepada Hawyah. Setelah mendengar kisahnya, Hawyah menjelaskan rahsia bagaimana perbezaan itu boleh terjadi.
"Aku memberikan wang itu kepada Allah dengan yakin, sementara engkau memberikannya dengan cuba-cuba."
Sumber: Solusi isu 26
0 comments:
Post a Comment